Wednesday, December 23, 2009

Kem 'Little Champs' 2009: Badminton

Kem 'Little Champs' 2009 merupakan program kesinambungan daripada Program Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri 2009 yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri (NMBC) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri yang terlibat manakala Program Tunas Gemilang telah dilaksanakan oleh Cawangan Mengenalpasti Bakat (TID), Institut Sukan Negara (ISN) sejak awal tahun 2009.

Kem ini akan berlangsung selama 5 hari bermula dari 24 hingga 28 Disember 2009 bertempat di Dewan Kompleks Rakan Muda Kemaman, Terengganu.

Selain sukan badminton, kem ini turut melibatkan 3 lagi jenis sukan iaitu bola sepak, memanah dan hoki. Bagi sukan badminton, seramai 60 orang peserta telah dipilih oleh Bahagian Pembangunan Sukan, KBS dan Cawangan TID, ISN menerusi pogram-program yang diadakan sebelum ini.

Disepanjang kem ini berlangsung, para peserta akan didedahkan dengan ilmu asas Sains Sukan seperti teknik senaman yang betul dan sesuai, pemakanan sihat, pengurusan kecederaan, teknik/sistem permainan yang betul dan sedikit pendedahan pertandingan sebenar.

Sesi latihan fizikal dan permainan badminton akan dikendalikan oleh jurulatih perseorangan badminton negara, Dato' Hj. Misbun Bin Dato' Hj. Sidek, dan akan dibantu oleh bekas pemain nombor satu dunia, Hj. Roslin Bin Hashim, serta beberapa orang lagi jurulatih daripada Kelab Badminton Nusa Mahsuri.